SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

CMK Telah Hadir Ke Majlis Dialog NGO Bantah Isu Lynas Di GC Curry House Jalan Air Putih Kuantan

Petang semalam (28 Mei) CMK sempat hadir di program Majlis Dialog NGO Tempatan (Negeri) Hentikan Lynas yang akan diadakan di GC Curry House, Jalan Air Putih Kuantan. Awalnya CMK merancang untuk ke Temerloh dan Kerdau untuk bersama rakyat di sana dalam beberapa program yang diadakan termasuk Himpunan Warga Felda dan Ceramah Umum Pakatan Rakyat, namun dek kerana beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan termasuk bajet maka CMK membatalkannya di saat akhir. Agak terkilan kerana tidak dapat bersama rakan-rakan di sana. Apapun, kesempatan hadir di majlis anjuran Save Malaysia Stop Lynas amatlah bermakna sekali. Tambahan pula, CMK sempat menyertai dialog tersebut, memberi komen dan pandangan ikhlas tentang senario terkini yang berlaku dalam isu ini. Sokongan orang ramai amatlah menggalakkan tatkala CMK menyampaikan hujjah pada majlis tersebut. Program bermula sekitar jam 3.00 petang itu berakhir dua jam kemudian. Wakil NGO dan profesional telah diundang untuk menjawab beberapa persoalan. Majoriti yang hadir adalah kaum Cina, dan hanya terdapat beberapa kerat kaum Melayu dan India yang turut bersama. Apapun, memang sudah dijangka, kerana hanya media berbahasa Cina sahaja yang banyak melaporkan isu Lynas secara telus dan tulus. Akhbar berbahasa Melayu (kecuali Sinar Harian) dilihat masih gagal berperanan untuk memberikan informasi yang sebenarnya kepada rakyat.


Barisan kepimpinan Save Malaysia Stop Lynas yang bersama semalam

Barisan pimpinan Pemuda MCA Indera Mahkota yang turut hadir sama
Banyak berita kabur yang dibuat, untuk memesongkan minda rakyat terhadap isu ini sebenarnya. CMK sempat berjumpa beberapa orang pimpinan Save Malaysia Stop Lynas untuk berbincang tentang usaha menarik seberapa ramai rakyat supaya lebih peka tentang isu ini. Paling membanggakan dalam program semalam, beberapa orang pemimpin muda MCA Indera Mahkota turut hadir berikan sokongan moral. Tahniah CMK ucapkan kepada mereka kerana berani tampil untuk bersama rakyat dalam isu seperti ini. Sekurang-kurangnya ini bagi membuktikan kepada kita bahawa isu Lynas yang dibantah oleh rakyat bukanlah permainan politik parti pembangkang seperti yang diperkatakan oleh Kerajaan Malaysa dan Kerajaan Negeri Pahang itu. Ianya adalah isu rakyat yang perlu diambil perhatian serius jika tidak mahu ia terus berpanjangang. Hentikan Lynas !!.

Read more »

Pilihanraya Umum, CMK Dengan Rasa Ikhlas Hati Menawarkan Diri Bertanding Sebagai Calon DUN !

Tanggal 25 Mei 2011, maka genaplah usia CMK yang ke-40 tahun. Maka, bermula era baru dalam hidup CMK selama ini. Ramai yang tidak mengerti apakah yang CMK perjuangkan, namun mutakhir ini masing-masing sudah mula memahami hasrat murni CMK untuk terus berjuang membela rakyat dalam apa jua keadaan sekali pun. Bagi CMK, usia 40 adalah bererti permulaan yang baru dalam hidup ini bagi meneruskan perjuangan. Biar pun pada masa ini CMK dilihat sebagai aktivis bebas, selepas berundur dari politik kepartian namun hala tuju perjuangannya adalah tetap sama. CMK mahu melakukan perubahan agar hari ini lebih baik dari hari semalam. CMK mahu politik kita lebih matang dan lebih adil dan saksama. CMK tidak mahu perjuangan politik itu disulami dengan berbagai taktik-taktik kotor dalam menjatuhkan lawan masing-masing. Kita perlu ingat bahawa kita adalah Khalifah dimuka bumi ini. Maka, kita tidak wajar terus berpolitik sepanjang masa hingga mengabaikan tanggungjawab hakiki kita di atas muka bumi ini. Kita tidak boleh terbawa-bawa fahaman politik sempit dalam kehidupan seharian kita, hingga kita hanya menjaga hubungan antara sesama kita dalam parti tertentu sahaja. Ketika pilihanraya, mungkin ada orang yang sokong kita, tetapi selepas pilihanraya kita perlu rapatkan ukhwah. Tidak boleh kita bezakan dan pinggirkan mereka yang tidak menyokong kita. Tidak boleh kita abaikan orang lain semata-mata tidak memangkah kita ketika pilihanraya. Ini tidak baik untuk generasi yang akan datang. Kita sebagai Khalifah di mukabumi ini harus melayan semua orang dengan adil dan saksama, hatta musuh politik kita sekali pun. Tindakan membeza-beza ini orang aku, itu orang mu menyebabkan, rakyat yang tidak berdosa akhirnya teraniaya. Tidak bolehkah kita berpolitik ketika masanya berpolitik, dan selepas itu kita kembali bersatu, berpadu dan mengeratkan sillaturrahim. Sanggupkah kita pinggirkan jiran-jiran kita semata-mata mereka tidak sehaluan dengan kita?. Hanya dek kerana berbeza agama dan bangsa, kita terkadang terpaksa abaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka?. Inilah perubahan besar yang perlu dilakukan dalam membawa erti sebuah perjuangan yang hakiki dalam kehidupan kita sebenarnya.

Tawar Diri Bertanding Kerusi DUN Pada PRU13

Justeru itulah, CMK merasakan sudah tiba masanya diwujudkan satu iklim politik yang lebih sihat dalam negara kita. Apakah salah dan dosa orang lain hingga mereka harus kita pinggirkan?. Baik sangatkah kita hingga menganggap orang yang tidak berpihak kepada kita adalah musuh kita buat selamanya?. Ini berlaku dalam politik hari ini dan sewajarnya diubah jika mahu kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang. Lantaran itulah CMK dengan beraninya menawarkan diri untuk menjadi Calon dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang. Ramai yang terkejut dengan keputusan berat ini, tetapi itulah hakikatnya. CMK perlu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Pahang secara terhormat atas nama demokrasi. CMK mahu bersuara membela rakyat secara lebih agreasif lagi. Jalan terbaik ialah menawarkan diri walau pun CMK kini tidak berparti sebenarnya. Ada yang mengatakan CMK gila kuasa dan memilih jalan yang salah untuk meneruskan perjuangan. Tapi mereka juga harus ingat, akibat tidak memaklumkan keputusan mahu menawarkan diri sejak dari awal lagilah akhirnya nama CMK tercicir dalam senarai calon Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan 2010 yang lalu. CMK dipersalahkan oleh pimpinan tertinggi PKR Pahang, kerana tidak memaklumkan secara rasmi hasrat tersebut. Sedangkan CMK sudah mewar-warkannya di dalam Facebook dan blog CMK sendiri. Mungkin kesilapan itu menyebabkan CMK akhirnya gagal untuk membantu memperkasakan Media Baru parti secara lebih praktikal lagi. Lantaran itu juga, CMK tidak mahu melakukan kesilapan buat kali yang kedua. Bagi CMK, niat ikhlas untuk berjuang membela rakyat perlulah dilakukan pula di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, selepas lebih 13 tahun CMK berjuang dijalanan serta sering berada di belakang tabir selama ini.

Empat Kawasan DUN Yang Bakal Menjadi Pilihan

Ramai yang hairan kenapa CMK buat pengumuman terlalu awal, sedangkan tarikh pilihanraya umum pun masih menjadi teka teki lagi. Malah ada yang tertanya-tanya CMK mahu bertanding atas tiket apa, sedangkan CMK sudah tidak berparti sekarang ini. Semua ini pasti akan menimbulkan kontroversi yang berpanjangan. Apa yang penting CMK akan terus berjuang untuk membela rakyat walau dalam apa jua cara sekali pun. Bagi CMK dimana-mana jua pasti akan ada masalah yang tidak dapat diselesaikan menerusi saluran politik. Buat masa ini CMK hanya menawarkan diri sahaja, dan CMK akan maklumkan selepas ini antara kawasan DUN pilihan dan seterusnya atas tiket apa CMK akan meneruskan perjuangan ini. Bagi CMK rakyat perlu dilayan sama rata dalam apa jua cara sekali pun. Mereka adalah hakim negara dan hak mereka perlu dihormati. Jika ditakdir CMK tersungkur, maka ribuan maaf diucapkan atas apa yang terjadi. Namun andai CMK berjaya teruskan perjuangan ini, maka CMK akan buktikan bahawa masanya sudah tiba untuk meneruskan cita-cita selama ini. CMK amat mengharapkan sokongan semua. Soal atas tiket mana dan parti mana itu CMK tidak berani untuk putuskan lagi. Mungkin dalam masa terdekat ini CMK akan tentukannya. Namun antara kerusi DUN Pilihan yang difikirkan sesuai untuk CMK tandingi ialah DUN Pulau Tawar (tempat asal usul keturunan CMK), DUN Chenor (tempat CMK dibesarkan dan mengenal erti kehidupan), DUN Kuala Sentul (tempat CMK bersekolah dan bersosial) dan yang terakhir sekali ialah DUN Semambu iaitu tempat bermastautin dan tempat CMK mengundi pada PRU-13 ini. Semua kawasan ini adalah sinonim dengan hidup CMK dan sudah pasti ada kekuatan untuk CMK buktikan kepada rakyat andainya hasrat murni ini mendapat sokongan dari kalangan rakyat ini diteruskan.

Read more »

CMK Sertai Himpunan Rakyat Bantah Lynas Dari KLCC Ke Pejabat' Pesuruh Jaya Tinggi Australia' !

Baru-baru ini (20 Mei) CMK sempat mengikuti rombongan ke perhimpunan anti Lynas di Kuala Lumpur. Pada awalnya CMK tidak jadi pergi disebabkan bajet dan kenderaan yang alami masalah teknikal. Namun selepas dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa ada bas rombongan dari Masjid Cenderawasih masih kosong, maka lepaslah CMK ke KL. Penganjur rombongan ialah Hj.Ismail (Kg.Tengah), dia banyak bagi maklumat dan pandangan semasa perjalanan. Bertolak dari Kuantan sekitar jam 8.30 pagi, dan singgah di R&R Gambang untuk sarapan. Sekali lagi singgah di R&R Gombak untuk rehat, sebelum terus ke KL. Sampai di sana dalam pukul 12.30. Bergerak ke KLCC untuk solat Jumaat dalam pukul 1.00 petang itu. Selesai solat, masing-masing bersiap sedia untuk berarak ke Kedutaan Australia yang terletak lebih kurang 700 meter dari KLCC di Jalan Yap Kwan Seng. Sampai di lokasi, kelihatan ramai peserta demo datang dari Kuantan yang sudah berada di situ. Difahamkan ada 10 buah bas dari sini. Kelihatan anggota polis lebih ramai dari peserta. Suasana sungguh meriah ketika itu dengan laungan "hidup rakyat, tolak Lynas, Save Malaysia" daripada peserta demo.


Hj.Ismail sedang sibuk memberi taklimat kepada semua peserta rombongan


Singgah di R&R Gambang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur


Antara pimpinan parti PAS yang turut hadir menyokong bantahan Lynas

CMK sempat bergambar dengan Tian Chua serta lain-lain peserta yang hadir



Kelihatan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat dari Pahang yang hadir seperti Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ustaz Suhaimi Md Saad, Ustaz Fadhil Noor, Andansura Rabu, Ustaz Yusof Embong dan yang lainnya. Turut hadir ialah pemimpin PKR seperti Tian Chua, Elizabeth Wong, Azmizan Zaman Huri dan yang lainnya. Selain itu ada beberapa wakil dari PSM yang memberikan sokongan. Kelihatan juga wakil dari Peguam Pahang yang sama-sama berada di situ. Trak FRU lebih kurang 5 buah diletakkan di hadapan Kedutaan Australia. Itu belum termasuk anggota polis bersenjata yang turut mengawal keadaan. Suasana umpama di medan perang. Mujurlah Pesuruhjaya Tinggi Australia membenarkan enam orang wakil termasuk YB Fuziah Salleh untuk masuk menyerahkan memorandum tersebut. Hujan turun dengan lebatnya ketika peserta menunggu wakil mereka keluar dari Kedutaaan Australia. Polis sekadar mengawal dan tidak membuat apa-apa provokasi. Mungkin atas arahan pihak kedutaan. Perhimpunan selesai lebih kurang jam 4.00 petang dan kami bersurai untuk balik ke destinasi masing-masing selepas itu. Sesungguhnya, perhimpunan yang berlangsung di KL adalah terlalu manis untuk dikenang. CMK ucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta.

Read more »

Seharian 'Meluangkan Masa 'Bersama Himpunan Rakyat Bantah Lynas & Seminar Maqasid Shari'ah

Pada 15 Mei 2011 yang lalu, CMK sempat bersama rakyat dalam beberapa program yang diadakan di sekitar bandar Kuantan. Paginya sekitar jam 11.00 CMK hadir ke demo anti-Lynas anjuran Parti Demokratik Rakyat (DAP) yang diadakan di hadapan Pejabat Khidmat parti itu di Jalan Beserah. Pada awalnya CMK juga agak terkejut kerana anggota polis lebih ramai dari orang awam. Khabarnya polis sudah diarahkan ke lokasi terbabit seawal jam 7.30 pagi lagi. Polis berpakaian seragam dilihat berbaris di depan pejabat DAP seperti mahu bersedia untuk menggempur rakyat yang mahu mengadakan himpunan secara aman. Agak sukar untuk kita faham kenapa ini berlaku?. Sedangkan jika himpunan itu bertujuan untuk hiburan sudah pasti ia dibenarkan. Alasan OCPD Kuantan, Tuan Jasmani Yusoff perhimpunan itu tiada permit. Beberapa pemimpin DAP seperti YB Leong Ngah Ngah (ADUN Triang), YB Anthony Loke (Ahli Parlimen Rasah) dan YB Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota) dari PKR juga sempat berucap. Ketika Anthony Loke berucap itulah OCPD datang dan mengarahkan perhimpunan bersurai sambil ditenangkan oleh YB Azan. Dalam kekecohan menyuruh semua bersurai, tiba-tiba ada empat aktivis ditangkap oleh pihak polis. CMK sempat ke IPD Kuantan untuk meninjau situasi di sana. Difahamkan kesemua mereka dibebaskan beberapa jam kemudian dam diminta melaporkan diri ke IPD Kuantan pada 16 Jun nanti. CMK sempat beramah mesra dan bergambar dengan YB Teo Nie Ching (foto) Ahli Parlimen Serdang yang kontroversi dengan isu ceramah di dalam surau dulu.


CMK sempat bergambar kenangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Bergambar dengan sahabat blogger, wfauzdin blogspot yang turut hadir
Sementara itu di sebelah petangnya CMK sempat hadir ke Seminar Maqasid Shariah Dan Masyarakat Majmuk yang diadakan di Dewan Restoran Sekilau Seafood Jalan Hj.Ahmad. Seminar anjuran Gabungan NGO-NGO Islam Pahang itu menampilkan Dr.Muhammd Nur Manuty (Ketua Penerangan PKR), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesuruhjaya PAS Pahang & Naib Presiden PAS Pusat) dan Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi (Ketua Pemuda PAS). Sementara itu ahli panel jemputan pula ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Agak ramai juga yang hadir dan tambah menarik ialah seminar itu turut disertai oleh ramai kaum Cina dan India. Mereka sama-sama berada dalam dewan untuk mendengar penjelasan yang diberikan oleh ahli panel. Seminar tersebut dipengerusikan oleh Dato' Fauzi Abd Rahman iaiatu Pengerusi PKR Pahang. Sambutan hangat dikalangan peserta membuktikan bahawa rakyat ternyata mahukan satu kehidupan yang selesa dibawah pemerintahan sebuah kerajaan yang lebih adil dan telus. Bukan kerajaan yang sengaja melaga-lagakan isu perkauman seperti yang berlaku hari ini. Diakhir program CMK sempat bergambar dengan Anwar Ibrahim sebelum beliau meninggalkan majlis. Selain Anwar, CMK juga sempat beramah mesra dengan rakyat bebagai bangsa termasuk sahabat blogger Wfauzdin.

Read more »

Panas, Naib Ketua AMK Pahang Sdr Hafez Harun Letakkan Semua Jawatannya Daripada Parti PKR

Selepas digemparkan dengan berita Chegubard keluar PKR baru-baru ini, maka hebohlah seluruh negara tentang isu tersebut. Ada yang percaya, ada yang tidak dan ada pula yang mahu tunggu dan lihat. Persoalan apakah benar Chegubard akan berbuat demikian, itu terletak kepada dirinya. CMK tidak pernah mengatakan dia akan masuk mana-mana parti sama ada UMNO atau terus dengan Pakatan Rakyat. Namun, ada pihak yang membuat ramalan jika pun Chegubard keluar maka dia besar kemungkinan akan sertai Parti Demokratik Rakyat (DAP). Apapun keputusan Chegubard ia sudah pasti akan menjadi tajuk utama media arus perdana selepas ini. Khabarnya jika Chegubard keluar PKR, maka beliau akan diikuti oleh para penyokong setianya yang kini sudah bersiap sedia untuk sama-sama menaiki kapal baru. Difahamkan, satu persatu Ketua AMK Cabang yang berpihak kepada Chegubard juga akan berbuat demikian. Ini terbukti, apabila Ketua AMK Cabang Kuala Krau, Hafez Harun berbuat demikian semalam. Beliau yang juga merupakan Naib Ketua AMK Pahang meletakkan semua jawatannya dari PKR berkuat kuasa pada 9 Mei 2011 (Isnin). Surat perletakan tersebut telah dihantar melalui email kepada pihak yang berkenaan. Menurut Hafez, turut berbuat demikian ialah Timbalan Ketua dan Naib Ketua AMK Cabang Kuala Krau. Tidak dapat dipastikan apakah Hafez akan mengikuti jejak langkah Chegubard. Tidak dapat dipastikan dia masih bersama PKR atau turut keluar parti itu. CMK akan cuba menghubungi Hafez Harun untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Read more »

Kempen Bantah Lynas Terus Bergema, Kerajaan Harus Dahulukan Rakyat Dalam Kontroversi Ini

Malam tadi CMK sempat luangkan masa untuk bersama rakyat di program 1,000 ibu mengandung bantah rare earth di pantai Teluk Chempedak Kuantan. CMK smpai awal sekitar jam 6.00 petang, dengan niat untuk memantau situasi di kawasan tersebut. Namun, sesampai di lokasi telah kelihatan beberapa petugas AMK Pahang mengedarkan risalah, air mineral dan jualan baju T-Shirt Stop Lynas, Save Malaysia. Sempat dengar YB Tian Chua dan YB Fuziah Salleh buat ucapan ringkas. CMK pun dapat bercakap sekitar lima minit untuk menyemarakkan api perjuangan rakyat. Program berjalan lancar, cuma lewat petang itu pihak polis yang diketuai OCPD Kuantan telah mengarahkan semua bersurai. Beliau juga melarang sebarang aktiviti termasuk penjualan t-shirt bantah Lynas di kawasan itu. Namun, selepas rundingan dengan beberapa orang pemimpin akhirnya pihak polis membenarkan dengan kawalan oleh pegawai mereka. Sebelah malam barulah orang ramai berpusu-pusu datang. Masing-masing bersemangat untuk nyatakan bantahan. Ada dikalangan mereka ialah para doktor, peguam, guru, pegawai kerajaan dan berbagai lagi. Mereka juga kecewa dengan tindakan kerajaan terus membenarkan Lynas beroperasi di Gebeng. Program berakhir sekitar jam 9.30 malam dengan nyalaan lilin di tepi pantai tersebut sambil diikuti dengan berbagai laungan slogan keramat. CMK ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat. Program berjaya capai matlamat biarpun penuh dengan dugaan dan rintangan sebenarnya. Teruskan perjuangan untuk menyedarkan rakyat tentang bahaya radioaktif yang akan dihasilkan oleh kilang Lynas.

Read more »

Sumpah Laknat, Lokman Sebenarnya Yang Telah Mula Tunjukkan Jalan Kepada Saiful Dan Eskay !

Bila melihat Datuk Eskay bersumpah laknat dan sebelum itu Saiful Bukhari Azlan berbuat demikian beberapa tahun lalu, CMK terkadang tertanya-tanya dari manakah mereka belajar ilmu sumpah-sumpah itu selama ini?. Selepas diamati betul-betul, akhirnya barulah CMK faham bahawa ilmu sumpah berkenaan dipelajari daripada bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan sendiri yang kini kembali bergelar Exco Pemuda UMNO iaitu Lokman Noor Adam (foto). CMK masih ingat Lokman telah bersumpah di Masjid Negara pada 19 Feb 2004. Dalam sumpahnya sambil menjunjung Al-Quran diatas kepalanya, Lokman mendakwa bahawa cerita Ketua AMK Keadilan ketika itu iaitu Ezam Md.Noor ambil duit RM 1 Juta daripada Presiden Filipina, Estrada dan sumbangan Ketua Pemuda Terengganu sebanyak RM 300,000 adalah benar. Beliau sedia dilaknat Allah s.w.t. jika dakwaannya tidak benar. Lokman cabar Ezam untuk lafaz sumpah junjung Quran ditempat yang sama pada 21 Feb 2004 tepat jam 11.00 pagi untuk menafikan dakwaannya itu. Beliau bersumpah selepas dipecat dari menjadi ahli Keadilan atas tuduhan membuat tuduhan liar tanpa bukti, memujuk orang untuk masuk UMNO dan memburukkan nama Keadilan di media massa. Anehnya sampai sekarang Ezam tidak menjawab sumpah Lokman dan perkara ini masih menjadi tanda tanya sebenarnya. Maknanya Lokman mempunyai bukti yang Ezam melakukan perbuatan rasuah tersebut, malah beliau siap kepilkan dengan resit bukti-bukti yang berkaitan selepas itu. Soalnya sekarang, jika Ezam masih belum menjawab sumpahnya maka ini bermakna Lokman tidak wajar bersama Ezam dalam UMNO. Namun, itulah politik bagi mereka yang bergelar petualang rakyat. Segala sumpah dan janji yang diberikan oleh mereka kini dimungkiri dan terbukti mereka yang bersumpah ini kebanyakannya menjerumuskan diri menjadi munafik. Cuma bezanya, sumpah Eskay dan Saiful di dalam masjid sebaliknya sumpah Lokman Noor Adam diluar masjid. Gara-gara sumpah si Lokman itulah Keadilan Paya Besar dibubarkan pada tahun 2004 lalu. Ketika itu nama CMK adalah calon Keadilan untuk DUN Lepar. Itulah dia bahana sumpahan. Kini ia berlaku lagi dan apakah kita boleh terima sumpah itu?.

Read more »

Khabar Angin Isu Chegubard Tinggalkan PKR, Ke Mana Arah Hala Tuju Perjuangannya Selepas Ini!

Susulan pendedahan CMK berkaitan khabar angin tentang tokoh anak muda Keadilan iaitu Chegubard yang tewas secara misteri ditangan Samsul Iskandar ketika merebut jawatan Ketua AMK dalam Pemilihan 2010 yang lalu, maka blog CMK menjadi sedikit panas dan tegang. Tambahan pula banyak blog pro UMNO memetik artikel tersebut termasuk AnwarAIDC yang pernah menyiarkan gambar CMK cium Anwar satu ketika dulu. Kini orang-orang kanan Chegubard terus dihujani dengan berbagai persoalan daripada anak muda Keadilan di seluruh negara. Mereka gusar, ke mana hala tuju perjuangan Chegubard jika dia meninggalkan PKR?. Soalnya, ke manakah arah tujuan beliau selepas ini?. Semua itu terletak dibahu anak muda itu jika benar beliau akhirnya terpaksa meninggalkan PKR. Tidak perlu ada yang menuduh dia pengkhianat kerana masa sudah terlalu lama diberikan kepada pucuk pimpinan tertinggi PKR untuk menyelesaikan kemelut Pemilihan 2010 dulu. Namun, segala yang dijanjikan itu nampaknya tidak membuahkan hasil. Bayangkan kemenangan Samsul ke atas Chegubard diisytiharkan tanpa jumlah undi yang diperolehi. Ini sesuatu yang amat tidak wajar berlaku dalam sesebuah parti sebenarnya. Apa akan terjadi jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mengumumkan jumlah undi bila mengisytiharkan pemenang sesuatu pilihanraya?. Bukankah kita akan tuduh SPR menipu dan sebagainya. Kini, apa yang berlaku kepada Chegubard harus dijadikan tauladan kepada PKR agar tidak mengulangi perkara yang sama pada masa akan datang. Berlaku adillah dalam parti sendiri sebelum beriya-iya mahu mencari keadilan buat rakyat. Keadilan itu perlulah ditegakkan dan bukan hanya untuk dilaungkan semata-mata.


Panas, Chegubard juga dilihat muncul dengan MB Negeri Sembilan ini
Lantaran itulah CMK tidak hairan jika benar Chegubard membawa diri. Itu hak beliau setelah sekian lama menunggu dan terus menunggu. Difahamkan, beliau kini aktif dengan berbagai aktiviti dibawah SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia). Anehnya, itu pun menjadi halangan pihak-pihak tertentu hinggakan banyak program beliau terpaksa dibatalkan akibat campur tangan pihak atasan PKR. CMK melihat, ini satu perkembangan yang tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku. Malahan lebih teruk lagi, bila ceramah beliau juga banyak yang dihalang sedangkan beliau masih lagi bersama PKR. Bayangkan anak muda seperti Chegubard yang telah banyak berjasa kepada perjuangan Keadilan tiba-tiba diperlakukan begitu?. Justeru itu, tidak hairanlah jika beliau pergi sebagai seorang pejuang yang bermaruah. Apapun, keputusan terletak ditangan Chegubard sekarang. Beliau yang juga mempunyai hubungan saudara dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu khabarnya memberi masa lagi kepada parti untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Jika tiada jalan penyelesaian, maka barulah keputusan drastik akan dibuat olehnya. Ramai yang menuduh beliau gila jawatan, tapi mereka harus ingat dia juga pernah ditawarkan jawatan oleh PKR sebelum ini. Namun dia menolak atas kerana prinsip yang terus dipertahankan. Soalnya apakah dia akan bersama UMNO, PAS, DAP, KITA atau lain-lain parti yang seangkatan dengannya?. Atau mungkin akan terus aktif dengan NGO seperti SAMM, Perkasa dan sebagainya. Hanya Chegubard lebih mengetahuinya. Apapun keputusan yang dibuat, CMK tetap menghormati keputusan beliau dan sesungguhnya dia akan pergi sebagai seorang pejuang yang bermaruah dan bukan pengkhianat seperti yang lain-lainnya.

Read more »

Siapa Gamaknya 'Pemimpin Pakatan Rakyat' Yang Bersekongkol Dengan Projek Radio Aktif Lynas Itu

Ramai yang terkejut bila CMK terpaksa dedahkan ada pemimpin pembangkang (Pakatan Rakyat) yang cakao tak serupa bikin dalam Isu Lynas. Dalam sibuk-sibuk rakyat berjuang untuk membatalkan projek berkenaan, pemimpin terbabit telah sanggup bersekongkol menikmati hasil daripadanya. Bukankah ini satu pengkhianatan dan tidak sewajarnya berlaku. Namun, apa boleh buat kerana manusia itu hatinya lain-lain. CMK tidak berani untuk menyalahkan beliau sepenuhnya jika benar dia terlibat dengan Lynas. Namun, agak menghairankan kenapa ini boleh berlaku?. Ramai yang kecewa dengan pendedahan panas yang dibuat ini. Namun, hakikat perlu ditelan. Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. CMK bukan dapat maklumat dari tepi jalan. Malah, jika pun UMNO yang beri maklumat mungkin CMK tidak dapat menerimanya. Tapi, bila maklumat itu disalurkan oleh penyokong kuat dan ahli parti sendiri, ini sudah tidak wajar berlaku. Mana mungkin pemimpin yang dilihat berjuang membela rakyat dalam isu Lynas tiba-tiba ada kaitan pula dengan syarikat dan projek itu. Apapun, fail masih dalam siasatan dan belum disiapkan sepenuhnya. Cuma CMK harap, pemimpin terbabit dapat berfikir sebelum membuat keputusan. CMK terpaksa mendedahkan perkara ini jika terbukti beliau bersalah. Ini kerana, CMK tidak mahu berkompromi dengan benda yang salah. Bagi CMK yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Walau bagaimana pun perjuangan untuk membantah Lynas akan diteruskan dalam apa jua keadaan sekali pun. Faktor ada yang menjadi gunting dalam lipatan, itu adalah masalah peribadi. Agenda utama ialah memastikan Lynas keluar dari Kawasan Perindustrian Gebeng. Itulah perjuangan sebenar untuk seluruh rakyat Kuantan yang tidak berdosa ini.

Read more »

Tamparan Hebat Buat PKR Jika Benar Anak Muda Seperti 'Chegubard' Pula Meninggalkan Parti Itu !!

Petang Isnin (2 Mei 2011) CMK telah meluangkan masa untuk bertemu dengan Chegubard (PKR) di sebuah restoran mamak dekat bandar Kuantan. Banyak benda yang kami bualkan, termasuk senario di Sarawak, isu saman Utusan, kes liwat II termasuk juga berkisarkan hala tuju perjuangan politik masing-masing. CMK hargai kunjungan Chegubard ke Kuantan, ketika dia dalam perjalanan dari Kemaman untuk berceramah malam itu di Lanchang. Turut hadir petang itu ialah Kamarul Hatta (PKR) dan Saudara Ito (Kg.Tengah). Dalam berbual, Chegubard sekali lagi meluahkan perasaan terkilan beliau akibat kegagalan PKR menyelesaikan kemelut pemilihan 2010 lalu. Parti katakanya seolah-olah cuba mengalih pandangan dan mahu beliau melupakan apa yangs udah berlaku, sedangkan perkara itu sebaptutnya diselesaikan seperti janji dua minggu yang dibuat oleg Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution semasa Kongres PKR di Petaling Jaya tahun lalu. Namun sehingga kini segalanya "indah khabar dari rupa". Ini menyebabkan Chegubard terpaksa memberi sedikit masa sahaja lagi untuk PKR membuat keputusan, sama ada mahu menyelesaikan kemelut itu atau membiarkan sahaja ia berlalu. Beliau turut menegaskan akan bertindak untuk "meninggalkan parti itu" andai jalan penyelesaian tiada. Malah katanya, itulah yang amat dikehendaki oleh mereka yang berkuasa sekarang ini. Ketika CMK tanya ke mana hala tuju politiknya andai keluar PKR. Chegubard beberapa kali menegaskan dia akan membuat satu keputusan mengejut berkenaan perkara itu. Namun, itu pun jika tiada tindakan daripada pucuk pimpinan tertinggi PKR sendiri. CMK merasakan, PKR bakal menerima pukulan TKO jika anak muda seperti Chegubard pula meninggalkan parti itu. Malah, dia khabarnya akan membawa bersama para penyokong dan pemimpin muda di peringkat cabang-cabang di seluruh negara. Ini satu tamparan hebat buat PKR, maka seharusnya Anwar Ibrahim memainkan peranan untuk menyelesaikan kemelut ini. Agak malang bila beliau yang masih bersama PKR tiba-tiba dihalang melakukan aktiviti termasuk berceramah di sana-sini oleh parti sendiri. Senario ini memang berlaku, dan sungguh memalukan. CMK harao, Chegubard dapat membuat keputusan yang bijak dalam menentukan masa depan perjuangannya. CMK hormati apa jua keputusan yang dibuat beliau.

Read more »