SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Kemelut "Anak-Anak Ibrahim" Lemahkan Pakatan Di Selangor !


Ingatkan kemelut politik di Selangor dapat berakhir dengan aman dan damai seperti yang didakwa, rupa-rupanya kini semakin panas apabila terdapat desas-desus Tan Sri Khalid Ibrahim mahu dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) gara-gara enggan melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Ismail. Jika ini berlaku, ternyata ia akan menjadi satu lagi sejarah yang cukup memalukan sebenarnya. Nampaknya, kumpulan yang beriya-iya mahu Khalid melepaskan jawatan kini tidak duduk diam. Mereka mencari berbagai fail sulit untuk didedahkan. Tambah menarik. calon Timbalan Presiden PKR yang bersaing dengan Khalid dan Azmin, iaitu Saifuddin Nasution juga nampaknya mula "berkokok".

Dakwaan Khalid tiada "integriti" kini mula kedengaran. "Kentut" yang dulu wangi kini sudah busuk baunya. Menteri Besar yang didakwa terbaik di Malaysia selama ini telah dikatakan buruk pula. Keupayaan Khalid menambahkan rizab negeri Selangor dan berjaya membangunkan negeri itu dianggap sudah tiada nilainya. Tuduhan yang dibuat oleh UMNO BN selama ini bahawa Pakatan Rakyat tidak berupaya memerintah Selangor akhirnya dijadikan kenyataan. Sikap benci terhadap Khalid kini semakin membuak-buak.

"Langkah Kajang" Melemahkan Pakatan Rakyat Di Selangor

Perbincangan isu MB dengan pimpinan Pakatan Rakyat disahkan sebagai "hasil perbincangan" sedangkan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan mereka bersetuju, sebaliknya mahu perkara itu dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dalam masa terdekat ini. Malah, Presiden dan Mursyidul Am PAS sendiri tidak bersetuju Khalid ditukarkan. Ini bukan masanya "Langkah Kajang" dinatijahkan. Dakwaan langkah Kajang untuk memberi kekuatan kepada Pakatan Rakyat menuju Putrajaya hanyalah omongan kosong semata-mata. Sebaliknya, kini ia bukan sahaja memalukan Pakatan Rakyat malah menghilangkan kepercayaan sebahagian besar rakyat yang memilih PR untuk menubuhkan kerajaan di negeri Selangor

Kemelut Anak Ibrahim Lemahkan Pengaruh Pakatan Rakyat

Jika dulu Zaid Ibrahim dikutuk dan dihina selepas dia meninggalkan parti PKR, kini Khalid Ibrahim sudah mula merasai bahangnya ketika masih dalam PKR. Dua anak Ibrahim ini kini menjadi mangsa "kerakusan kuasa" seorang anak Ibrahim bernama Anwar  yang mahu menabalkan isterinya menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. Persoalannya, semua ini membuktikan "itulah sebenarnya Langkah Kajang" yang diwar-warkan selama ini. Biar pun berkali-kali dinafikan Anwar, kini ternyata "putar belit" itu sudah boleh dibaca oleh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang lain. Sikap Anwar menangani kemelut ini jelas sekali menampakkan kelemahan beliau sebenarnya. Samalah dengan apa yang berlaku kepada Zaid Ibrahim sebelum ini. Jika dulu, Zaid tinggalkan PKR semua mata melihat beliau "khianat dan petualang". Kini, jika Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR, siapakah petualang itu sebenarnya. Anwar yang sepatutnya memanggil kesemua pemimpin yang bertelagah duduk semeja, dilihat gagal menangan kemelut itu hingga ia terpalit kepada rakan Pakatan Rakyat yang lain. Apa yang disaksikan ini sungguh memalukan dan jelas sekali membuktikan kepada rakyat bahawa PKR bersama Pakatan Rakyat tidak layak untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada UMNO BN. Jika baru ambil alih negeri pun, sudah bertelagah sesama sendiri. Bagaimana mahu mentadbir negara?. 

Kemelut PKR Mudahkan UMNO BN Lebarkan Pengaruh

Biar pun pada awalnya umum melihat isu ini hanya bersifat sementara dan berakhir dengan baik, namun mutakhir ini jelas menunjukkan "petir sabung menyabung" dan bila-bila masa akan mengenai mangsa. Jika di Palestin, umat Islam bertarung nyawa menyelamatkan diri daripada bom dan serangan tentera Israel. Kini di Selangor, rakyat terpaksa berhadapan dengan "periuk api" yang dipasang sendiri oleh orang dalam. Tidak perlu lagi bersusah payah untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor. UMNO BN hanya perlu  mainkan sentimen ini hingga ke pilihanraya umum akan datang. Mereka boleh lebarkan pengaruh dan menyakinkan rakyat bahawa Pakatan tidak berupaya untuk mentadbir negeri dengan baik kerana mereka sebenarnya tidak bersatu hati untuk membela rakyat. Jika dengan kemelut sebegini UMNO BN masih gagal mempengaruhi rakyat, maka ia merugikan parti itu sebenarnya. Peluang yang ada bukan boleh datang berkali-kali. UMNO BN tidak perlu gunakan senjata yang canggih-canggih untuk menyerang Pakatan Rakyat di Selangor. Cukup dengan menyebar dakyah dan informasi kenapa PR perlu ditukarkan kembali dengan BN pada pilihanraya umum akan datang. Kerja mereka lebih muda dari apa yang dijangka sekarang. PKR merosakkan kepercayaan rakyat dan sudah pasti mereka akan tukar semula pada PRU akan datang pastinya. Itu pun jika UMNO BN pandai memainkan peranan terhadap isu kemelut Menteri Besar yang sedang melanda negeri itu. CMK

0 Komen Artikel Ini: