SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Azmin MB Selangor, Jangan Terlalu Drastik Lakukan Perubahan


Ramai pihak yang terkejut dengan perlantikan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai menteri Besar Selangor baru-baru ini sebenarnya. Namun, itulah politik... apa pun boleh jadi. Kini, harapan baru rakyat Selangor terletak dibahu Azmin pula selepas seteru politiknya dinyahkan dari PKR. Masa depan politik Azmin dilihat semakin bersinar-sinar dalam PKR selepas berjaya menghalang dua pesaing hebatnya terdahulu iaitu Zaid Ibrahim dan kemudian Khalid Ibrahim. Kedua-dua anak Ibrahim itu berjaya diterajang keluar dari parti secara terhormat menerusi strategi dan taktik yang umum sudah tahu sejak sekian lama. 

Kini, segala tuduhan demi tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam Pemilihan PKR 2010 dan 2014 seakan-akan tertutup rapat. Tiada siapa lagi boleh membuka fail tersebut hatta Badrul Hisham Shahrin AKA Chegubard. Beliau yang selama ini begitu lantang mengkritik perjalanan pemilihan PKR yang pincang dan penuh dengan penipuan, kini telah digantung daripada parti itu. Tiada lagi suara kritikan berbunyi, tambahan pula selepas Azmin diangkat menjadi Menteri Besar Selangor.

Soalnya, kemenangan Azmin ini apakah mendapat sokongan daripada akar umbi?. Atau mungkin juga usaha untuk menjatuhkan beliau pula akan terus berbunyi selepas ini. Satu persoalan, kenapa perlu bergaduh dan bercakaran jika memang Azmin harus diangkat menjadi Menteri Besar?. Kesilapan Presiden PKR, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Ismail ialah gagal menghantar nama Azmin ketika mencalonkan nama Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat mempertahankan negeri itu pada PRU13 yang lalu. Jika tidak sudah pasti isu perbalahan jawatan Menteri Besar tidak akan berlaku. Malah, mungkin juga Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dipecat daripada parti. Namun, kini tragedi itu melanda PKR dan ia telah sedikit mengguriskan hati penyokong pembangkang di Selangor khasnya dan di Malayasia amnya.

Kini, para penyokong Azmin Ali dalam PKR tersenyum ria atas kejayaan pemimpin mereka terpilih sebagai Menteri Besar Selangor. Cuma "kiambang bertaut kembali" kali ini usahlah dijadikan senjata untuk "memancas" penyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon PRU14 jika nama mereka terpilih nanti. Kita tidak mahu senario yang sama berlaku kepada penyokong Zaid Ibrahim terjadi sekali lagi. Ramai yang kecewa dan teraniaya apabila nama mereka ditukar disaat akhir dan nama baru yang dipercayai orang Azmin digantikan secara tiba-tiba. Kiranya kali ini berlaku lagi, maka "politik dendam" itu pasti akan terus bersemadi dalam diri mereka yang menjadi mangsa akhirnya.

Namun, inilah politik. Gara-gara "Kajang Move" menyebabkan Sultan Selangor juga terpaksa menegur PKR baru-baru ini. Tindakan menyerang Tan Sri Khalid di bulan Ramadan sememangnya sesuatu yang tidak wajar berlaku. Namun, inilah takdirnya. Azmin kini berkuasa menentukan segalanya.. Negeri Selangor kini Azmin Ali yang punya. Apapun, semoga Azmin kotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat dan usahlah terlalu rakus menyerang pihak lain. Bentang agenda perubahan yang mahu dibawa untuk rakyat Selangor, daripada  mempersoalkan berbagai perjanjian yang telah termeterai semasa zaman Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar. 

Semoga Azmin Ali berjaya membawa perubahan besar buat rakyat Selangor selepas ini. Ingat, "musuh dalam selimut" senantiasa mengintai peluang untuk melakukan sesuatu. Jangan tersalah langkah dan drastik membuat tindakan kerana kelak ia akan memakan pula diri sendiri. 

Selamat bertugas dan Salam Perjuangan daripada Blogger Cucumatkulau.

0 Komen Artikel Ini: