SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Azmin MB Selangor, Jangan Terlalu Drastik Lakukan Perubahan


Ramai pihak yang terkejut dengan perlantikan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai menteri Besar Selangor baru-baru ini sebenarnya. Namun, itulah politik... apa pun boleh jadi. Kini, harapan baru rakyat Selangor terletak dibahu Azmin pula selepas seteru politiknya dinyahkan dari PKR. Masa depan politik Azmin dilihat semakin bersinar-sinar dalam PKR selepas berjaya menghalang dua pesaing hebatnya terdahulu iaitu Zaid Ibrahim dan kemudian Khalid Ibrahim. Kedua-dua anak Ibrahim itu berjaya diterajang keluar dari parti secara terhormat menerusi strategi dan taktik yang umum sudah tahu sejak sekian lama. 

Kini, segala tuduhan demi tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam Pemilihan PKR 2010 dan 2014 seakan-akan tertutup rapat. Tiada siapa lagi boleh membuka fail tersebut hatta Badrul Hisham Shahrin AKA Chegubard. Beliau yang selama ini begitu lantang mengkritik perjalanan pemilihan PKR yang pincang dan penuh dengan penipuan, kini telah digantung daripada parti itu. Tiada lagi suara kritikan berbunyi, tambahan pula selepas Azmin diangkat menjadi Menteri Besar Selangor.

Soalnya, kemenangan Azmin ini apakah mendapat sokongan daripada akar umbi?. Atau mungkin juga usaha untuk menjatuhkan beliau pula akan terus berbunyi selepas ini. Satu persoalan, kenapa perlu bergaduh dan bercakaran jika memang Azmin harus diangkat menjadi Menteri Besar?. Kesilapan Presiden PKR, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Ismail ialah gagal menghantar nama Azmin ketika mencalonkan nama Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat mempertahankan negeri itu pada PRU13 yang lalu. Jika tidak sudah pasti isu perbalahan jawatan Menteri Besar tidak akan berlaku. Malah, mungkin juga Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dipecat daripada parti. Namun, kini tragedi itu melanda PKR dan ia telah sedikit mengguriskan hati penyokong pembangkang di Selangor khasnya dan di Malayasia amnya.

Kini, para penyokong Azmin Ali dalam PKR tersenyum ria atas kejayaan pemimpin mereka terpilih sebagai Menteri Besar Selangor. Cuma "kiambang bertaut kembali" kali ini usahlah dijadikan senjata untuk "memancas" penyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon PRU14 jika nama mereka terpilih nanti. Kita tidak mahu senario yang sama berlaku kepada penyokong Zaid Ibrahim terjadi sekali lagi. Ramai yang kecewa dan teraniaya apabila nama mereka ditukar disaat akhir dan nama baru yang dipercayai orang Azmin digantikan secara tiba-tiba. Kiranya kali ini berlaku lagi, maka "politik dendam" itu pasti akan terus bersemadi dalam diri mereka yang menjadi mangsa akhirnya.

Namun, inilah politik. Gara-gara "Kajang Move" menyebabkan Sultan Selangor juga terpaksa menegur PKR baru-baru ini. Tindakan menyerang Tan Sri Khalid di bulan Ramadan sememangnya sesuatu yang tidak wajar berlaku. Namun, inilah takdirnya. Azmin kini berkuasa menentukan segalanya.. Negeri Selangor kini Azmin Ali yang punya. Apapun, semoga Azmin kotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat dan usahlah terlalu rakus menyerang pihak lain. Bentang agenda perubahan yang mahu dibawa untuk rakyat Selangor, daripada  mempersoalkan berbagai perjanjian yang telah termeterai semasa zaman Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar. 

Semoga Azmin Ali berjaya membawa perubahan besar buat rakyat Selangor selepas ini. Ingat, "musuh dalam selimut" senantiasa mengintai peluang untuk melakukan sesuatu. Jangan tersalah langkah dan drastik membuat tindakan kerana kelak ia akan memakan pula diri sendiri. 

Selamat bertugas dan Salam Perjuangan daripada Blogger Cucumatkulau.

Read more »

Kemurkaan Sultan, Memungkinkan Khalid Ibrahim Kekal MB Selangor


Kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah  akibat kedegilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mengemukakan lebih daripada dua nama bagi calon Menteri Besar Selangor ternyata bakal mengundang "bala" yang lebih besar kepada PKR sebenarnya. Malah tindakan itu dilihat bagai menutup terus pintu hati Tuanku Sultan untuk melantik mana-mana calon dari parti itu sebagai Menteri Besar Selangor. 

Persoalannya, apakah calon dari PAS bakal menjadi pilihan Sultan Selangor?.  Secara matematiknya, jika PKR tidak diterima maka sudah pastilah calon PAS akan mendapat tempat, tidak mungkin DAP. Namun, segalanya kini terletak ditangan Tuanku Sultan. Malah, paling memeritkan PAS sendiri kini mempunya dua kumpulan. Satu yang mahu calon dari parti mereka diangkat sebagai Menteri Besar dan satu lagi tetap mahu calon dari PKR. Lihat saja kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang mendakwa PAS tidak akan menerima jawatan MB dan ia milik PKR. Jika ini keadaannya, sudah pasti akan menyusahkan tuanku untuk membuat pilihan.

Malah Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memutuskan untuk kekal dengan pendirian mereka sebelum ini iaitu tidak menuntut kerusi menteri besar Selangor, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. Mustafa berkata PAS juga memutuskan untuk menyerahkan kepada budi bicara Sultan Selangor bagi memutuskan nama Menteri Besar Selangor yang baharu. Maka dengan pendiri terbaru PAS ini pasti polimik MB akan lebih sulit lagi sebenarnya. Tuanku murka kepada PKR dan DAP, PAS pula setuju beri jawatan MB kepada PKR. Amat janggal bunyikan?.

Jalan terakhir yang dilihat sekarang ialah ia memungkinkan Menteri Besar Selangor yang ada sekarang iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim akan dikekalkan hingga tamat penggal ini. Itulah saja jalan yang ada, akibat kemelut yang melanda Selangor sebenarnya. Sebab itu ada desas-desus mengatakan istana ada hak memilih calon lain dari Pakatan Rakyat. 



Tidak mungkin calon dari UMNO BN akan dilantik kerana mereka tidak memiliki majoriti di DUN Selangor. Ramalan saya pasti Tan Sri Khalid Ibrahim akan dikekalkan, kerana Tuan Sultan Selangor lebih menyukai beliau daripada yang lainnya. Malah, Tan Sri Khalid sudah membuktikan beliau berjaya menjaga kebajikan rakyat Selangor sejak dilantik sebagai Menteri Besar. 

Saya amat yakin, Tan Sri Khalid pasti kekal kerana kesukaran Sultan Selangor mengundang kekalutan yang amat berpanjangan. Inilah yang dikatakan, "ayam menang kampung tergadai". Akibat kerakusan pihak tertentu untuk mengambil alih kuasa dari Tan Sri Khalid maka kini mereka menerima padahnya.  Apapun, ini hanya firasat hati saya sebagai seorang blogger yang telah hampir 15 tahun mengikuti perjalanan PKR dan Pakatan Rakyat dalam kancah politik tanahair ini sebenarnya.

Apapun, sama-sama kita nantikan pengumuman Tuanku Sultan Selangor dalam masa terdekat ini. Jika benar ramalan saya maka pembaca jangan anggap saya "bomoh". Ia sekadar pandangan peribadi, kerana inilah yang berlaku di negeri Pahang Darul Makmur sebenarnya. Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikhabar telah menamakan calon Menteri Besar yang baharu, namun kerana Tuanku Sultan  masih sayang dan percayakan Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, maka ADUN Pelangai itu tetap memerintah Pahang sehingga sekarang. Semua ini adalah atas kuasa Tuanku Sultan. ~ CMK

Read more »

Antara Punca Kenapa Wan Azizah Tak Layak Jadi Menteri Besar



Kemelut politik di Selangor kini semakin hangat diperkatakan mutakhir ini apabila Presiden PAS, Tuan Guru Hj.Hadi Awang melabelkan Presiden PKR,  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai tidak layak dan tidak berupaya mentadbir Kerajaan Negeri  Selangor. 

Akibat kenyataan panas Hj.Hadi itu, maka ramailah pemimpin tertinggi DAP dan PKR yang menyerang beliau sekarang. Antaranya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Antara lain kenyataan Nik Nazmi mendakwa Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu sedangkan Dr Wan Azizah menerajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1998 selain dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 2008 di mana ia turut mendapat sokongan Hadi. 

Sementara itu, Lim Guan Eng pula mendakwa PAS kini sedang menghadapi pergolakan dalaman selepas kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan keupayaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor. 


DAP tetap percaya dan yakin kemampuan Wan Azizah untuk menggalas tugas Menteri Besar. Katanya, Wan Azizah seorang yang berpengalaman dan telah berjaya mengambil alih tugas PKR ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Susulan kenyataan ini, saya selaku bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan merupakan antara individu yang banyak berjuang membela Pakatan Rakyat sejak tahun 1998 lagi iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dan Kerajaan Malaysia, maka saya terpanggil untuk berkongsi sedikit maklumat dari pandangan pihak ketiga yang lebih bebas sebenarnya.

Janji Wan Azizah Untuk Berehat 2008, Tinggal Kenangan

Bagi saya kenyataan Presiden PAS itu ada asasnya dan bukan sekadar omongan kosong semata-mata. Saya masih ingat kenyataan Wan Azizah ketika melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding disitu pada tahun 2008 dulu. Wan Azizah mendakwa beliau hanya mengambil alih tugas Anwar ketika dia dipenjara sahaja, namun selepas Anwar bebas maka suaminya pula harus teruskan perjuangan rakyat dan dia sendiri mahu berehat untuk tumpukan tugas sebagai isteri, disamping menumpukan sepenuh masa kepada anak dan cucunya.


Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila Wan Azizah terus mempertahankan jawatan Presiden PKR pada pemilihan selepas itu. Dakwaan mahu berehat hilang begitu sahaja. Anwar pula menjadi Ketua Umum PKR dari dulu hingga sekarang. 

Persoalannya, apakah Wan Azizah berjaya menjalankan tugas tersebut dengan baik?. Rakyat terutamanya para penyokong pembangkang melihat dengan mata dan kepala mereka sendiri. Benar, Wan Azizah pernah menjadi Ketua Pembangkang di parlimen, namun ketika itu hanya beliau sahaja yang menang kerusi parlimen PKR dan sebagai menghormati Anwar beliau diberi keutamaan untuk memimpin Pakatan Rakyat  di parlimen. 

"Imam" Biarlah Di Pilih Di Kalangan Lelaki Muslim

Soalnya, benarkah dakwaan Hj.Hadi bahawa Wan Azizah tidak layak dan memenuhi kriteria sebagai Menteri Besar. Dari sudut pandangan Islam sahaja kita melihat bahawa wanita itu tidak wajar menjadi "imam" kepada lelaki. Melainkan sudah tiada lelaki yang berwibawa dan mempunyai ilmu agama yang tinggi untuk diangkat. Inilah yang berlaku kepada Wan Azizah, kerjasama dalam Pakatan Rakyat melibatkan Parti Islam SeMalaysia (PAS). 


Iaitu sebuah parti yang menitik beratkan soal hukum syarak dan agama dalam pentadbiran mereka. Lantaran itulah, lebih utama memilih ketua dikalangan lelaki sebelum wanita. Melainkan sudah tiada pemimpin lelaki yang berkelayakan dan wajar diangkat sebagai pemimpin. PKR harus faham semua ini dan tidak perlu bercakap sesuka hati tanpa mengambil kira kepentingan agama. Kriteria ini sudah membuktikan Wan Azizah tidak layak.

Presiden PKR: Adakah Wan Azizah Berfungsi Dengan Baik 

Dalam soal beliau menjadi Presiden PKR sejak parti itu ditubuhkan. Adakah Wan Aziziah berfungsi dengan baik?. Umum melihat sejak Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun 2008 dulu, Ketua Umum itu lebih berfungsi dari Presiden PKR. Memang jelas dilihat Presiden PKR gagal berfungsi dengan baik jika dibandingkan dengan Presiden parti yang lain seperti PAS, DAP hatta UMNO sendiri. Ini bukan sekadar omongan kosong tetapi kenyataan. 


Buktinya banyak program PKR dihadiri oleh Anwar sendiri. Malah, mesyuarat dalaman parti, ceramah, jelajah rakyat malahan sidang media itupun kebanyakkannya Anwar yang menguruskannya. Di mana Wan Azizah?. Beliau dilihat tidak berfungsi dan hanya timbul sekali sekala tatkala ada program tertentu, sebaliknya program-program besar di seluruh negara banyak dihadiri oleh Anwar. Anwar yang lebih menonjol sedangkan Wan Azizah adalah Presiden parti. 

Wan Azizah Gagal Selesaikan Kemelut Dalaman PKR

Ini harus diakui, malah calon Timbalan Presiden PKR ketika pemilihan 2010 iaitu Datuk Zaid Ibrahim pernah mendedahkan isu ini dulu. Beliau berkali-kali mendakwa mahu menganggat semula imej Presiden PKR agar lebih berfungsi.


Kemelut yang melanda PKR sendiri pun terutamanya krisis Azmin-Zaid dan Azmin-Khalid gagal ditangani dengan baik oleh Presiden PKR itu hingga ia menjadi barah yang semakin paran sekarang. Wan Azizah tidak berupaya untuk mentadbir sebuah negeri, berbeza dengan sebuah parti di mana suaminya Anwar Ibrahim boleh melaksanakan tugas tersebut. Maka itulah, rakyat melihat beliau tidak layak menjadi Menteri Besar kerana pasti akan dibayangi oleh batang tubuh Anwar kelak. 

Rakyat Gusar Wan Azizah Jadi Menteri Besar Boneka

Kita tidak mahu Wan Azizah jadi "Menteri Besar Boneka", hanya pada nama, sama seperti menjadi Presiden PKR sekarang. Akhrinya nanti segala urusan pentabdiran Kerajaan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Inilah yang amat ditakuti oleh rakyat Selangor dan disedari oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj.Hadi Awang sebenarnya.


Malah, lebih mengejutkan lagi ketika PKR umumkan Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihanraya Kecil DUN Kajang itu pun Anwar sendiri yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Di manakah Wan Azizah?. Beliau hanya dilihat kelibatnya ketika Kongres Nasional PKR sahaja, kemudian jasadnya hilang dibayangi susuk tubuh Anwar Ibrahim. Inilah yang ditakuti oleh PAS sebenarnya, mereka takut Azizah  gagal menjadi Menteri Besar dan berfungsi dengan baik akibat dikawal dengan "remote control" oleh suami beliau sendiri. Bukankah ini sesuatu yang sudah boleh dibaca sebenarnya.

Jika Wan Azizah MB, Anwar Ibrahim Berkuasa Sebenarnya

Justeru, tidak salah untuk beliau mendakwa Wan Azizah tidak layak bagi jawatan Menteri Besar Selangor. Bagi mereka yang menyokong beliau tentu ada sebabnya yang dijanjikan. Tapi bagi saya yang sudah tidak bersama PKR dan mana-mana parti politik di negara kita, saya melihat dari skop yang lebih bebas dan berkecuali. Kemelut Selangor tidak akan dapat diselesaikan jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar, kerana awal-awal lagi kita sudah melihat sebenarnya Anwar Ibrahim nanti yang akan "berkuasa" bukannya Azizah. 


Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, namun itulah hakikat sebenarnya yang berlaku. Jika Wan Azizah Presiden PKR yang bagus kemelut politik di Selangor sekarang pasti tidak akan terjadi. Beliau sepatutnya sejak dari awal sudah menyelesaikan masalah peribadi antara Azmin dengan Khalid Ibrahim. Namun, apa yang Azizah lakukan selepas PRU-13 lalu?. Dia hantar nama Tan Sri Khalid Ibrahim sahaja sebagai satu-satunya nama untuk jawatan Menteri Besar Selangor. Jika beliau bijak, dia harus hantar nama Azmin dan Khalid, dan wajar menyokong Azmin sebagai MB selepas sepenggal diuruskan oleh Khalid. Namun, dia gagal mendamaikan kedua-dua pemimpin itu hingga kemelut menjadi parah.

Anehnya sekarang PKR sibuk menyalahkan PAS pula, walhal isu itu sepatutnya diselesaikan secara dalaman oleh Wan Azizah. Bukankah isu Azmin mahu gantikan Khalid sudah tersebar sebelum PRU-13 lagi. Jika Azizah bijak, terus hantar nama Azmin Ali kepada Sultan Selangor, pasti kemelut yang kita saksikan hari ini tidak berlaku. Pasti "Kajang Move" tidak terjadi dan semua dapat diselamatkan. Kini "Nasi Sudah Jadi Bubur", PKR yang memulakan kini PAS pula yang disalahkan. 

MOHD SHUKRI MOHD RAMLI
aka BLOGGER CUCUMATKILAU

Read more »