SELAMAT DATANG KE BLOG CUCUMATKILAU OFFICIAL | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Hikmah Di Sebalik Kembali Terpenjaranya Saudara Anwar Ibrahim


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga Anwar dan sahabat-sahabat pejuang di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas nasib yang menimpanya sekarang ini. Keputusan hakim Mahkamah Persekutuan untuk menolak rayuan Anwar berhubung dengan dakwaan meliwat pembantu peribadi beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan memang amat sukar diterima oleh para penyokong tegar bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Namun, segalanya perlu diterima dengan hati yang tenang dan sabar.

Maka, bermulalah episod baru perjuangan Pakatan Rakyat dan PKR itu sendiri tanpa kelibat Anwar untuk tempoh lima tahun akan datang. Malah, Anwar juga tidak boleh lagi menjadi Ahli Parlimen dan bertanding untuk tempoh yang lebih panjang dari itu. Memang ada yang amat sedih dengan keputusan mahkamah itu tadi.

Namun, bagi saya hikmah disebalik keputusan itu harus diterima oleh semua pihak. Mahkamah telah memutuskannya, terima atau tidak Anwar kini sudah dihantar semula ke Penjara Sungai Buloh. Perjuangan harus diteruskan, bak kata Dr.Wan Azizah Ismail pada mesyuarat PKR malam tadi (10 Feb) perjuangan akan diteruskan dan mereka tidak akan mengalah. 

Memang agak lama saya tidak mengulas tentang isu politik terutamanya berkait rapat dengan Anwar Ibrahim. Ketika zaman reformasi dulu, beratus-ratus tulisan saya yang menyokong perjuangan beliau. Malah, saya juga antara salah seorang orang awam yang berjaya menyelinap masuk untuk mengikuti perbicaraan hari terakhir kes liwat I di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu. Saya berjaya memeluk Anwar dan dia ada berpesan "kamu orang muda teruskan perjuangan... Anwar tidak bersalah.. yakinkan rakyat.. Anwar tidak bersalah", katanya kepada saya ketika mahkamah rehat seketika.

Namun, takdir penentu segalanya. Jangka hayat saya bersama PKR berakhir pada 11 Feb 2011 yang lalu. Walau pun pernah menjadi calon PKR pada tahun 2008, namun kini saya terus terpinggir dari arus perjuangan mereka. Saya terpaksa pergi meninggalkan Anwar dan hari ini genaplah usia pemergian saya selama empat tahun. Apapun, saya masih kekal perjuangan dengan NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) dan tidak sertai mana-mana parti buat masa ini.

Cuma apa yang ingin saya perkatakan, terkadang biarlah Anwar berada di dalam agar perjuangan menuntut keadilan itu kembali subur dan disemarakkan. Saya merasa sedih apabila ramai sahabat pejuang asal dalam Keadilan akhirnya terpinggir gara-gara tindakan parti membawa masuk ramai pimpinan dan mereka yang telah terbuang oleh parti masing-masing untuk bersama. Mereka yang dulu bermewah dan bersenang lenang ketika Anwar dipecat dari kerajaan dan diawal gelombang reformasi, kini "menatang Keadilan itu bagai minyak yang penuh".

Mereka kononnya pejuang hebat, sedangkan ketika Anwar dizalimi mereka tidak berani ke depan dan hanya berada di belakang tabir perjuangan. Namun kini mereka ada kuasa selepas membawa sebegitu ramai penyokong untuk bersama menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka menang dalam pertandingan dan menguasai parti. Mereka terajang orang-orang lama yang mewarnai perjuangan asal Keadilan itu. Mereka sedikit pun tidak merasai pahit getir dan keperitan dalam perjuangan era reformasi. Mereka bersama ketika PKR dan Pakatan Rakyat itu berada di puncak kejayaan terutamanya selepas PRU12 (2008). 

Maka itulah, hikmahnya bila Anwar "kembali ke dalam" barulah mereka ini akan merasai erti perjuangan keadilan sebenarnya yang dilaung-laungkan selama ini. Biar mereka alami detik-detik cemas ketika era refosmasi dulu, ketika Anwar ditangkap, ditahan dan dihumban ke penjara. Kini, situasi yang sama bakal dilalui oleh mereka yang tidak pernah merasainya. Justeru, bersyukurlah atas apa yang berlaku. Semoga perjuangan menegakkan keadilan itu kembali subur dan bersemarak semula. Malah, dengan kembalinya Anwar ke penjara barulah kefahaman tentang perjuangan sebenar itu akan lebih bermakna. Pengampu dan mereka yang bergantung kepada batang tubuh Anwar pasti akan terasa kehilangan beliau. Ketika ini barulah mereka tahu erti perjuangan politik, berdidikari meneruskan perjuangan rakyat.

Begitu juga bagi Pakatan Rakyat, terpenjaranya Anwar mungkin memberi hikmah untuk anda kembali bersatu meneruskan perjuangan. Dosa Anwar dengan "Peristiwa 16 September", "Langkah Kajang" dan banyak lagi itu jadikanlah sebagai pengajaran. Ada kalanya bukan semua tindakan Anwar dipersetujui dan mendapat sokongan semua. Banyak kesilapan yang tidak disedari hingga membuatkan rakan-rakan Pakatan Rakyat itu akhirnya "makan hati" dengan sikap Anwar. Malah, tragedi pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR juga meninggalkan kesan besar kepada ramai penyokong mereka yang masih setia dengan Keadilan. Kini masanya Anwar bermuhasabah diri atas segala tindakan beliau yang membelakangkan kepentingan ahli parti dan kepimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri. 

Semoga semua pihak mengambil ikhtibar atas apa yang berlaku. Rapatkan saf perjuangan yang semakin kucar kacir jika mahu menakluki Putrajaya dan mencapai kemenangan pada pilihanraya umum akan datang. Biarkanlah Anwar berehat sambil meneruskan percaturannya. Soal beliau bersalah atau tidak biarlah Allah SWT yang menentukannya kelak. Kehidupan perlu diteruskan dan saya doakan sahabat-sahabat dalam keadilan lebih mengerti tentang perjuangan dengan apa yang berlaku ini. Salam Perjuangan.

1 Komen Artikel Ini:

  • Anonymous says:
    Feb 11, 2015, 6:21:00 PM

    Saudara2 Seperjuangan,

    Kami Amat marah pada Anwar. Walaupun kami kesian pada beliau. Kemarahan membara adalah kerana kebenaran.

    Perjuangan kami adalah berdasarkan dokma2 transparensi, keadilan dan bukan untuk keluarga laki bini. Parti sedang diserang penyakit Nepotisme. Hak memilih pemimpin adalah hak semua dan bukan golongan elit dalam parti.

    Anwar memecat orang yang baik sebagai pemimpin. Anwar mahu ganti dengan bini kamu. Ini adalah zalim sezalim regime yahudi. Mujur istana menghalang perbuatan keji ini.

    Perjuangan untuk rakyat sudah jadi perjuangan untuk ahli keluarga terutama bini sendiri.

    Anwar pecat Khalid, Anwar gantung Che Gu Bard. Kamu fitnah mereka, kamu nista mereka. Apakan lagi warga kilang seperti kami. Kalau rakan kamu pun dilakukan begitu, lebih lebih kami, silap haribulan diludah dan ditendang saja.

    Ingat kami berpaksikan kepada kebenaran dan bukan kepada Pencacai besar yang hanya pandai bermuka2 dan berkata-kata manis.

    Katan tidak kepada sistem Nepotisme, Katakan tidak kepada sistem pemimpin parti berkeluarga. Katakan tidak kepada golongan2 banjingan yang menyorok dibawah janiji2 bulan dan bintang.

    Rupanya yang masih memerlukan reformasi adalah PKR sendiri. Pemimpin Parti durjana perlulah mengundurkan diri. Kami sayang PKR, kami sayang perjuangan. Kami sayang TSKI.

    Terimakasih

    Jeff Ulu Yam